Nidzam Adzha Terbukti Berwibawa, Satukan Pasukan - Fitri


ALOR SETAR - Pemangku jurulatih skuad Lang Merah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff telah membuktikan kewibawaan beliau selaku pengemudi pasukan kebanggaan rakyat negeri itu apabila berjaya membawa Kedah ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.

Pemain pertahanan skuad Lang Merah, Mohd Fitri Omar berkata, Nidzam Adzha bukan saja berjaya menggantikan tempat yang ditinggalkan bekas Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe, malah bijak mengatur strategi permainan menentang pasukan lawan.

“Mohd Nidzam Adzha Yusof yang mengambil alih tugas Cheng Hoe, telah membuktikan kewibawaanya dengan memastikan Kedah beraksi pada perlawanan akhir Piala FA pada 20 Mei ini.

"Beliau bijak mengubah corak permainan kami sehingga berjaya memerangkap Terengganu," katanya mengulas prestasi Nidzam Adzha yang diberi kepercayaan untuk mengemudi skuad Lang Merah sementara menunggu kelibat Ketua Jurulatih yang baru.

Jelas Mohd Fitri, Nidzam secara tidak langsung turut meneruskan legasi yang diwarisi Cheng Hoe menerusi corak permainan yang diterapkan sebelum ini.

Katanya, kemampuan yang dimiliki Nidzam Adzha juga telah berjaya menyatukan semua pemain dan mengembalikan keyakinan pasukan Hijau Kuning itu untuk bermati-matian memastikan Piala FA dapat dibawa pulang ke negeri Jelapang Padi.

"Malah Mohd Nidzam juga berjaya meneruskan legasi Cheng Hoe dan juga corak permainan yang diperkenalkan oleh bakal penolong jurulatih pasukan Harimau Malaya itu.

"Saya memang kagum dengan semangat dan kerjasama kesemua pemain Kedah tidak kira di atas padang ataupun di luar dan kami bukan sahaja beraksi dengan satu hati dan satu matlamat tetapi kami adalah satu keluarga besar bersama penyokong," katanya.

Tegas Mohd Fitri, semua pemain Lang Merah yang beraksi cemerlang bukanlah demi mencapai kejayaan peribadi masing-masing, namun meletakkan matlamat utama kejayaan pasukan Kedah untuk meraikan kepercayaan penyokong yang tidak jemu-jemu memberi sokongan.

Ujarnya, sokongan dari para peminat setia Hijau Kuning itu telah membakar semangat juang semua pemain Lang Merah amat dihargai oleh setiap anggota pasukan dalam usaha memburu pelbagai kejuaraan musim ini. -Kedahnew.com