ALOR SETAR - Pengendali skuad Lang Merah, Mohd Nidzam Adzha Yusof yakin bahawa setiap pemain yang bakal diturunkan untuk berdepan PKNS FC pada saingan Liga Super malam esok mampu membawa pulang tiga mata penuh buat pasukan.
Nidzam Adzha berkata, berdasarkan pengalaman dan kemampuan pemain skuad hijau kuning itu termasuk di bangku simpanan, skuad Lang Merah mampu mencipta kejayaan asalkan bersatu hati dan kental berjuang di atas padang.
"Tidak kira siapa yang bakal beraksi, kesemua mereka memiliki kemampuan untuk berdepan PKNS di Shah Alam.
"Pemain simpanan kita mempunyai pengalaman dan kemampuan kerana mereka telah memastikan Kedah muncul juara Piala Malaysia musim lalu dan Liga Premier sebelum itu.
"Apa yang penting mereka perlu bersatu hati dan berjuang bagi memastikan permainan berakhir dengan kemenangan berpihak pada kita," katanya memetik laporan mStar.
Meskipun menyedari tentang kesukaran untuk mendapatkan gol, namun Nidzam Adzha enggan menjadikan ia sebagai satu alasan untuk Kedah membawa misi kemenangan.
Jelas beliau, kemampuan secara individu, semangat juang yang tinggi dan pengalaman pasukan tersebut juga antara kekuatan untuk berdepan PKNS FC nanti.
"Kami tahu bukan mudah untuk mendapatkan gol tetapi itu juga bukan alasan.
"Kami telah menjalani latihan dan melakukan persediaan sebaik mungkin untuk perlawanan ini dan segala disipilin perlu diterjemah dengan baik jika pemain mahukan kemenangan," katanya lagi.
Nidzam Adzha menegaskan bahawa skuad Lang Merah itu perlu bangkit mendapatkan tiga mata penuh dan kembali bersaing untuk kedudukan teratas liga memandangkan perbezaan mata antara tiga pasukan teratas juga tidak begitu ketara.
Skuad Kedah bakal berdepan PKNS FC di Stadium Shah Alam pada jam 9 malam esok bagi meneruskan saingan Liga Super yang kini menyaksikan pasukan kebanggaan anak Kedah itu berada di tangga ketiga liga di belakang Pahang dan JDT. - Kedahnews.com