Puteri UMNO hari ini meminta supaya rakyat Malaysia menilai sendiri tindakan yang dibuat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beliau kini bersama pembangkang.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tindakan serta ucapan yang diberikan Mahathir kini dilihat tidak selari dengan apa yang pernah negarawan itu ungkapkan semasa menjadi perdana menteri.
"Dia patut ingat kembali apa yang telah dia ucapkan semasa jadi perdana menteri dan dia orang yang bertanggungjawab masukkan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim).
"Saya rasa rakyat boleh nilai sendiri apa yang keluar dari mulut Tun (Mahathir) sekarang tak sama masa dia jadi perdana menteri.
"Rakyat Malaysia, nilailah," katanya semasa ditemui pemberita selepas melancarkan program Iftar@KL 2017 sempena bulan Ramadan di Putrajaya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung tindakan Mahathir semasa Kongres PKR semalam yang tidak memegang sepanduk 'Anwar PM ke-7'.
Sementara itu, pada sidang media hari ini, Mas yang juga merupakan timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan memberitahu, program Iftar@KL akan diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Ramadan.
Katanya, pelbagai aktiviti akan dijalankan sepanjang program berkenaan yang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Antara aktiviti yang akan diadakan ialah penyediaan dan agihan bubur lambuk, tadarus al-Quran, tazkirah serta jualan makanan 'food truck'.
"Program Iftar@Kl juga menarik minat kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang akan turut bersama rakyat pada 4 Jun bagi mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di samping akan turut bertadarus al-Quran.
"Kehadiran perdana menteri dan isteri juga sebagai bukti pemimpin dan rakyat berpisah tiada," ujarnya.
Sumber: Malaysiakini