Operasi Tabung Darah HTF Dipendekkan


KANGAR - Waktu operasi Tabung Darah Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar sepanjang bulan puasa ini dipendekkan dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang setiap hari serta ditutup pada hari Sabtu dan Ahad.

Menurut kenyataan HTF semalam, waktu rehat dari Isnin hingga Khamis selama setengah jam sahaja iaitu dari jam 1 tengah hari manakala hari Jumaat dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang.

HTF sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa operasi bermula jam 8 pagi hingga 5 petang bagaimanapun waktu operasi dipendekkan setengah jam bagi memberi peluang petugas membuat persediaan untuk berbuka puasa, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi orang ramai boleh menderma darah pada waktu malam yang ditetapkan pada setiap Selasa dan Khamis dari 8.30 malam hingga 11 malam.

"Mereka yang berpuasa juga boleh menderma darah dalam tempoh empat jam selepas bersahur," kata kenyataan itu yang mengalukan-alukan penderma berumur 18 tahun ke atas bagi membantu menyelamatkan nyawa. - Bernama