KUALA LUMPUR - Penyanyi Elizabeth Tan berkata, kehadiran orang ketiga menjadi punca hubungan cintanya dengan seorang ahli perniagaan putus sejak sebulan lalu.
Elizabeth atau lebih mesra dengan sapaan Lizzy berkata, dia bertindak mengakhiri hubungan itu selepas mendapat tahu teman lelakinya mempunyai hubungan dengan orang lain.
"Memang benar kami berpisah kerana kehadiran orang ketiga apabila dia mempunyai hubungan dengan bekas teman wanitanya.
"Percintaan kami selama empat bulan itu berakhir dengan perpisahan sejak bulan lalu," katanya kepada mStar Online.
Lizzy ditemui pada majlis bersama artis Warner Music Malaysia yang diadakan di Publika di sini, Rabu.
Baru-baru ini timbul gosip kononnya seorang aktres dikatakan sebagai punca keretakan hubungan cinta penyanyi lagu Tabah itu dengan lelaki tersebut.
Dalam pada itu, Lizzy mengakui sepanjang bercinta dengan pemuda itu, dia sanggup membelakangkan keluarganya.
Bagaimanapun kata Lizzy, perkara itu menjadi pengajaran berharga buatnya agar lebih berhati-hati dalam percintaan.
"Kerana dia saya sanggup mengenepikan keluarga tetapi ini adalah pengajaran buat saya dan syukur hubungan dengan keluarga pun kembali pulih.
"Apa yang saya lalui banyak mematangkan diri saya dan lebih baik saya tahu mengenainya sekarang daripada kemudian hari," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Lizzy berkata dia sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri My Darling Inspektor Daniel.
Sumber : Mstar Online