ALOR SETAR - Budaya masyarakat zaman sekarang dilihat lebih ramai suka berhutang daripada kesedaran nak menjelaskan hutang tersebut, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Mohamad Baderuddin Ahmad.
Beliau berkata, mereka yang mengalami masalah serta tidak mampu menjelaskan hutang tersebut kebiasaannya sering kelihatan susah hati dan tidak tenteram.
“Orang sekarang dia kira boleh berhutang saja, nak bayar hutang itu cerita lain. Janji dia bagi hutang. Beli rumah hutang, beli kereta hutang, nak menikah pun berhutang. Lepas pencen pun hutang tak habis lagi.
“Ini satu budaya bagi saya tidak elok. Kita berhutang, kita kena fikir bukan untuk mendapatkan hutang saja, tapi kena fikir bagaimana kita nak bayar. Itu satu benda mustahak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis perletakan batu asas dan penentuan arah kiblat Masjid Ghairu Jame’ Al-Ariffin, di Sekolah Menengah Sains Tahfiz Alor Setar (Semesti), Jalan Datuk Kumbar, di sini, kelmarin.
Menurutnya, lebih membimbangkan sekiranya hutang tersebut terutamanya dengan manusia tidak dibayar kerana tanggungan dan tanggungjawab itu akan dibawa sampai ke akhirat kelak.
“Kalau berhutang dengan ALLAH, kita minta ampun dan maaf, ALLAH akan ampunkan. Tetapi dengan manusia, selagi dia tidak menghalalkan kepada kita ataupun kita buat dosa lain dengan sesama manusia, kita kena minta maaf dengan dia.
“Kalau kita berhutang dengan seseorang tetapi dia dah mati, bagaimana kita nak uruskan benda itu? Sebab itu sebelum kita berhutang kena fikir berpuluh kali bagaimana hutang itu boleh kita bayar,” katanya.
Malah dalam Islam juga mengatakan sekiranya seseorang itu tidak mampu menjelaskan hutang akibat umur yang sudah terlalu tua atau keuzuran, ia hendaklah diwasiatkan kepada anak-anak atau waris terdekat untuk membayar hutang tersebut.
“Kalau ada hutang orang yang mati, pertama sekali harta pusakanya dalam Islam tidak boleh dibahagikan kepada waris kecuali bayar hutang dia dahulu.
“Harta itu boleh dibahagikan kepada waris selepas wasiat ayah ataupun hutang ayah itu disempurnakan, baru boleh bahagi pusaka,” katanya.
Baderuddin (dua, kanan) menyampaikan sijil kepada penyumbang sumbangan untuk pembinaan Masjid Ghairu Jame’ Al-Ariffin, di Sekolah Menengah Sains Tahfiz Alor Setar (Semesti) |
“Sebab itu dalam Islam kena bayar hutang dan tunaikan wasiat dahulu, kemudian baru bahagi pusaka. Para sahabat Nabi dulu dia fikir nak bayar hutang tak boleh, macam mana? Nabi ajar kita satu doa.
“Kamu baca doa ini, insya-ALLAH nanti ALLAH akan menghilang susah hati kamu dan ALLAH akan menolong kamu untuk melunaskan hutang. Doa ini Nabi ajar dalam hadis pun ada, mudah saja,” katanya.
Sumber: Sinar Harian