Pak Nasir Mula Berlari Pulang Ke Alor Setar Hari Ini

Image result for pak nasir

ALOR SETAR - Nasir Abas, 62 hari ini memulakan larian dari Stadium Shah Alam pulang ke tanah airnya, Alor Setar bagi memenuhi hasratnya dan seperti yang dijanjikannya sebelum ini.

"Sebaik pengadil meniupkan wisel penamat malam semalam, ayah (Nasir) tak sabar memulakan larian pagi ini kerana dia sememangnya berhasrat berlari dari Stadium Shah Alam, Selangor ke Alor Setar apabila Kedah menjuarai Piala FA," kata Mohd Ridzuan Nasir anak kepada Nasir.

Mohd Ridzuan, 29, anak bongsu Nasir atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nasir itu memulakan larian solonya untuk kali ke-13 sejauh 500 kilometer itu pada 8.45 pagi tadi dan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh hari untuk tiba di Stadium Darul Aman.

Pak Nasir yang merupakan seorang pesara tentera itu perlu menamatkan lariannya lebih awal jika hendak dibandingkan dengan lariannya sebelum ini kerana umat Islam bakal menyambut Ramadhan tidak lama lagi.

"Biasanya ayah berlari sehingga 50 km sehari tetapi kali ini dia akan berlari sehingga yang termampu antara 70 hingga 80 km bergantung kepada keadaan untuk mencapai sasarannya sampai dalam tempoh seminggu.

"Usia bukan halangan ayah meneruskan larian kali ini, malah dia akan berhenti untuk solat lima waktu tak kira di mana berada," katanya.

Sehingga jam  1.30 tengah hari tadi, mereka berhenti rehat di Lebuhraya Koridor Guthrie (Guthrie), Selangor dan akan meneruskan larian sehingga Rawang yang dijangka akan tiba pada jam 7 petang.

Dalam pada itu, Pak Nasir juga turut memasang hasrat untuk menjulang Piala FA sebaik tiba di Alor Setar kerana sebelum ini dia agak terkilan kerana tidak dapat memegang Piala Malaysia tahun lalu.

Turut menyertai larian itu, isteri Pak Nasir, Faridah Lowamiah, 59, dan empat anaknya, Noorizan, 37, Norsazali, 33, Norfadzeli, 33, dan Mohd Ridzuan.

Sebelum ini, imam Surau Al Hijrah, Kuala Kedah itu pernah melakukan larian solo ke-12 pada jarak sama dari Stadium Shah Alam ke Stadium Darul Aman sebagai penghargaan kepada pasukan Kedah yang memenangi Piala Malaysia ketika menentang Selangor di Stadium Shah Alam, 30 Oktober tahun lalu.-Kedahnews.com