Pakatan Bertelagah, PAS "Pulangkan Paku Buah Keras"


ALOR SETAR - PAS memandang sinis pergaduhan yang berlaku di dalam kalangan parti gabungan Pakatan Harapan gara-gara mencalonkan pemimpin parti masing-masing sebagai calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia jelas menunjukkan bahawa DAP, Parti Amanah Negara (PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR lebih berminat untuk bergaduh sesama sendiri, namun menuduh PAS kononnya yang suka bergaduh.

"PAS dituduh kononnya menjadi punca kepada percanggahan di dalam Pakatan Rakyat dahulu.

"Tanpa PAS, pelbagai percanggahan juga berlaku dalam pelbagai isu yang kini melanda Pakatan Harapan. Jadi jelasnya, tuduhan terhadap PAS tidak benar," sindir beliau berhubung pertelagahan terkini di dalam Pakatan Harapan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas oleh media mengenai pertelingkahan yang berlaku di dalam Pakatan Harapan berhubung perebutan menjadi calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

PPBM sebelum ini dikatakan tidak berpuas hati apabila DAP dan PKR senada mahukan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal Perdana Menteri dan ia semakin jelas ketika Kongres PKR berlangsung baru-baru ini.

Pemerhati politik negara menjangkakan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih cenderung untuk Pakatan Harapan menamakan anaknya, Datuk Seri Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, namun nama Anwar yang disebut-sebut.

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub baru-baru ini turut mencalonkan Presidennya, Mat Sabu sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan.

Mahathir dalam kenyataannya yang terkini menyindir sekutu-sekutu politik barunya itu dengan menyifatkan pencalonan yang disebut itu hanyalah sekadar "syok-syok".

Sehingga kini, tidak ada sebarang keputusan tunggal yang dibuat oleh Pakatan Harapan mengenai calon sebenar yang bakal diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan yang dikuasai DAP itu.

Namun menurut pemerhatian penganalisis politik, DAP yang dilihat sebagai dominan akan mengisyaratkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Perdana Menteri buat sementara waktu sehingga Anwar dibebas dan dibenarkan semula aktif dalam arena politik di negara ini. - Kedahnews.com