Pakatan Harapan Dicabar Namakan Bakal MB Kedah


ALOR SETAR – Pakatan Harapan (PH) dicabar untuk menamakan bakal “ Menteri Besar” bayangan mereka jika impian pakatan itu  untuk mentadbir kerajaan negeri Kedah menjadi kenyataan.

“Adakah pemimpinnya datang  daripada PKR, PPBM, PAN atau DAP? “ tanya Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Kata  Shaiful, jika PPBM menyatakan hasrat awal untuk mengetuai kerajaan negeri ini, adakah ia akan dipersetujui oleh rakan sekutunya dari PKR, PAN dan DAP?

Hakikatnya PPBM hanya akan ‘ bermimpi di siang hari’ dan akan kempunan mengejar pengiktirafan untuk menerajui pakatan politik di negeri ini, kata Shaful Hazizy dalam kenytaan akhbar hari ini.

Beliau yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia mengulas kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan partinya bakal mengetuai PH  pada PRU-14 kelak.

Muhyiddin menyatakan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Badan Perhubungan PPBM Kedah di sini semalam. Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 Kata Shaiful lagi , dalam keadaan PPBM yang semakin lemah dan tidak diyakini,  rakyat negeri ini  boleh menilai antara kemampuan parti itu dan kerajaan negeri sekarang yang lebih mengutamakan kehendak dan keperluan rakyat.

“Kepimpinan baharu kerajaan negeri sekarang adalah kalangan yang bekerja dan berkhidmat”, kata Shaiful Hazizy. - Kedahnews.com