PAN Jerai Kata Dapat Sambutan Hangat, Sudah Ada 1,800 Ahli

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Jerai, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad
ALOR SETAR - Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Jerai, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad mendakwa PAN kini semakin diterima rakyat dan mendapat sambutan hangat oleh orang ramai di kawasan berkenaan.

Mohd Ridzwan berkata, PAN sebelum ini sering dianggap sebagai pengkhianat kerana mengambil keputusan untuk meninggalkan PAS.

Namun kini katanya, PAN semakin diterima rakyat ekoran tindakan PAS yang bertindak memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR dan enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan, selain kembali "mesra" dengan UMNO.

"Namun sejak kebelakangan ini, pergerakan PAN dilihat lebih mudah dan ada dalam kalangan ahli PAS sendiri secara terbuka datang untuk menyertai PAN," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mohd Ridzwan mendakwa, sesetengah ahli PAS yang sebelum ini meninggalkan PAS dan menyertai PAN secara diam-diam telah bertindak berani mengumumkan diri menyertai parti itu secara terbuka di khalayak ramai.

"Namun kini, apabila ahli PAS sendiri mula melihat kepimpinan tertinggi PAS yang lebih mesra UMNO mereka boleh menilai dan membuka mata akan perkara ini.

"Ramai yang mula menerima PAN secara diam dan ada dalam kalangan mereka dengan beraninya mengishtiharkan diri mereka sebagai ahli PAN," katanya lagi.

Jelasnya lagi, PAN kini tidak perlu lagi bersusah payah untuk mencari keahlian kerana orang ramai telah mula buka mata dan datang sendiri untuk menyertai PAN.

Dia turut mendedahkan bilangan ahli PAN yang telah berdaftar di parlimen itu kini sudah mencecah seramai 1800 keahlian.

"Ini adalah satu perkembangan yang baik buat PAN dan kami tidak akan merosakkan kepercayaan yang telah diberikan oleh orang ramai.

"Saya yakin jumlah ahli akan meningkat dari masa ke semasa," ujarnya. - Kedahnews.com