PAN Marang "Menyerah Kalah" Kepada Abdul Hadi?


MARANG –  Ketua PAN Marang, Miqdad Zakaria berkata, beliau tidak akan bertanding pada PRU14 kerana belum sampai masanya untuk berbuat demikian.

Miqdad, anak saudara kepada isteri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berkata, terlalu awal untuk memikul tanggungjawab itu lebih-lebih lagi jika Abdul Hadi bertanding.

Menurut Miqdad, jika beliau dipilih untuk bertanding menentang bapa saudaranya itu, beliau terpaksa menolak tawaran itu.

“Kalau (parti) PAN pilih saya untuk (menjadi calon PRU14) berhadapan dengan keluarga sendiri di (Dun) Rhu Rendang saya minta maaf dululah.

“Selepas ini InsyaALLAH kalau masa dah banyak, (setelah) banyak perkara diselesaikan di peringkat akar umbi saya akan terima,” katanya pada Program Borak Pagi ‘Dema Tanya Ambe Jawab’ di Gelugor, semalam.

Program itu diketuai Pengerusi PAN Terengganu, Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. Hadir sama, Ketua Pemuda PAN Terengganu, Hasbie Muda.

Beliau berkata, penyertaannya ke dalam PAN dan pendirian sebenar menyertai parti itu adalah bagi mengubah landskap politik di Marang.

Kawasan Marang diketahui umum merupakan kubu kuat Pas. Kerusi Dun Rhu Rendang dan Parlimen Marang disandang sendiri oleh presiden Pas.

Ketika ditanya sekiranya penyandang di kerusi Dun Rhu Rendang dan Parlimen Marang itu tidak bertanding pada PRU14 sekali gus memberi kelebihan kepada Umno, Miqdad berkata, beliau akan mendesak untuk meletakkan calon sesuai.   

“Realitinya kena lihat dari sudut isu itu sendiri, tadi saya bercakap isu keluarga, saya tidak sanggup lagi berhadapan dengan keluarga, saya tidak hendak benda yang sudah retak (akhirnya) diputuskan terus, itu tidak boleh (berlaku).

“Tetapi jika isu itu (penyandang tidak bertanding) boleh menguntungkan Umno saya akan desak seorang wakil dari PAN sendiri atau Pakatan Harapan untuk berhadapan dengan Pas,” katanya.

Sumber: Sinar Harian