PAS Akui Serangan Burukkan UMNO Bersandar Persepsi Adalah Salah


ALOR SETAR - PAS kini semakin 'insaf' dengan  tindakannya menyerang UMNO dan Barisan Nasional pada masa dulu dengan mengaitkan isu-isu panas adalah perbuatan salah dan bukan cara yang betul.

Berikutan itu, PAS kini mahu 'memulihkan' silaturrahim dengan UMNO melalui gerakan mendekati ahli dan penyokong parti pemerintah agar mereka memahami perjuangan PAS.

"Dulu kita gemar bom' isu-isu panas dengan mengaitkan UMNO tapi sekarang kita sedar cara itu tidak betul," kata Naib Presiden parti itu, Idris Ahmad  pada satu forum " Wacana PAS bersama Timbalan Persuruhjaya PAS negeri Perak" di Kuala Kangsar malam semalam.

Seperti mana yang dilaporkan oleh Berita Harian semalam, Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang mengakui serangan dan permainan persepsi terhadap BN dan UMNO yang diamalkan oleh PAS sebelum ini sudah tidak relevan lagi.

Namun begitu, semasa Muktamar Tahunan PAS, di Kota Sarang Semut hujung bulan lepas, perwakilan PAS masih menggunakan cara lama, iaitu memainkan persepsi malah melemparkan tuduhan melulu terhadap kepimpinan kerajaan UMN/BN.

Umpamanya,  seorang pewakilan Pemuda PAS  dari Kedah telah menghetam Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan menyifatkan beliau sebagai ' gila'  kononnya pentadbiran kerajaan negeri  mahu menghapuskan kawasan persawahan dengan sektor industri.

Sedangkan dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana setiap pengambilan tanah sawah terutama di dalam kawasan perairan Muda perlu  melalui pelbagai syarat termasuk tanah yang diambil itu  perlu diganti dengan tanah yang sama dikawasan lain.

Hakikatnya, dalam keadaan tertentu atau terdesak, pemimpin PAS masih dilihat menggunakan pendekatan lama untuk memburukan kerajaan dan pemimpinnya termasuk serangan yang dilakukan ke atas Perdana Menteri.

Dalam masa yang sama PAS juga mengkui  masih belum mampu menguasai kerajaan Pusat tanpa dokongan daripada UMNO serta parti- parti lain.

Pengakuan Naib Presiden PAS itu,  membuktikan parti itu amat berharap dengan UMNO tetapi dalam masa yang sama masih membiarkan pemimpinnya  menyerang kepimpinan UMNO walaupun isunya tidak lagi relevan. - Kedahnews.com