PAS “Cerai” PKR: Mahfuz Salahkan PAS?


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bertindak menyalahkan PAS dengan mendakwa parti Islam tersebut telah mengeruhkan lagi keadaan apabila memilih untuk “menceraikan” kerjasama yang terjalin dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, PAS seperti mahu bergaduh dengan semua orang setelah Muktamar PAS pada kali ini apabila usul putus hubungan dengan PKR diterima sebulat suara oleh semua perwakilan dan perkara tersebut ternyata mengecewakan Mahfuz.

"Muktamar kali ini sepatutnya diambil kesempatan pimpinan PAS untuk menjernihkan imej PAS di mata pandangan masyarakat Malaysia dan pengundi Melayu. Saya kecewa terhadap ketidakupayaan PAS menangani isu ini.

"Imej PAS telah tercalar. Sejak dari mula Muktamar hingga penuh, makin keruh keadaan apabila dibuat usul putus hubungan dengan PKR," katanya.

Selain itu, Mahfuz mendakwa keputusan yang diambil itu bakal mengakibatkan PAS kehilangan undi dan sokongan rakyat serta tidak akan mampu untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 14 sekali gus gagal untuk menjadi pemerintah negara.

"Rakyat akan lihat buat apa kami nak sokong PAS, lebih baik kami sokong Pakatan Harapan. Pengundi PAS dan bekas pengundi PAS pada sebelum ini pun akan berpandangan seperti ini.

"Kalau PAS sendirian, mereka tak mampu perintah negara pada PRU14. Orang nampak PAS tak boleh kearah itu sebab sukar," ujarnya lagi.

Tambahnya, keputusan yang diambil PAS merupakan satu kesilapan yang besar dan mencemarkan imej parti Islam itu sendiri disamping memperkecilkan pengaruh PAS dikalangan masyarakat di negara ini.

Difahamkan Mahfuz merupakan antara saki baki pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan keputusan parti itu untuk tidak tunduk kepada desakan kerjasama dengan Pakatan Harapan yang ditunjangi DAP.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta Mahfuz supaya keluar dari PAS sekiranya beliau tidak menghormati atau patuh kepada keputusan parti yang diputuskan pucuk pimpinan. - Kedahnews.com