PAS Dakwa Sudah Nyahkan Pemimpin Biar Parti Jadi Tunggangan


ALOR SETAR – PAS menegaskan bahawa pihaknya telah menyingkirkan mana-mana pemimpin parti itu yang sebelum ini tergamak membiarkan PAS diperalat dan menjadi tunggangan pihak tertentu.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim berkata, PAS tidak akan tunduk kepada desakan dari mana-mana pihak serta tidak akan lagi menjadi "perkakas politik" pihak berkenaan.

“PAS tidak akan tunduk. PAS telah keluarkan semua pemimpin yang pernah membuat PAS menjadi parti yang diperalat  parti lain dalam PR (Pakatan Rakyat). Membiarkan PAS jadi tunggangan semua orang,” katanya.

Walau bagaimanapun, Amzad tidak menamakan pihak yang beliau maksudkan namun dipercayai ia merujuk kepada DAP, PKR dan sebahagian bekas pimpinan PAS yang kini menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN).

Selain itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad turut "memaksa" PAS untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dengan memberi kata dua sama ada setuju dengan desakan itu atau akan dipinggirkan pembangkang.

Mahathir turut memberi tempoh sebulan kepada PAS untuk membuat keputusan tersebut dan menambah kepada tempoh dua bulan untuk parti itu memikirkan semula tentang gesaan tersebut.

Namun begitu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menempelak "ugutan" Mahathir itu dengan mengatakan bahawa PAS tidak memerlukan sebulan, malah serta merta menetapkan pendirian untuk menolak desakan Pengerusi PPBM itu.

PAS pada muktamar yang berakhir pada semalam menegaskan pendirian "tutup pintu" kepada PPBM, manakala nasib tahaluf siyasi dengan PKR akan diputuskan oleh Majlis Syura setelah parti itu menerima desakan kuat untuk memutuskan hubungan dengan parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu. - Kedahnews.com