PAS Kekal Konsisten Dalam Gagasan Sejahtera


KUALA LUMPUR – PAS tidak akan menyertai mana-mana blok politik yang lain termasuk UMNO sebaliknya akan terus memberikan komitmen terhadap Gagasan Sejahtera.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, PAS bagaimanapun sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO dalam isu dan kepentingan umat Islam.

“PAS akan terus memberikan komitmen terhadap Gagasan Sejahtera. PAS akan terus memberikan pandangan, mengangkat isu nasional dan mengkritik sebarang pencemaran budaya politik dan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

PAS membentuk blok baharu parti pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) selepas diketepikan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada pakatan pembangkang dua tahun lalu.

Parti itu disisihkan kerana enggan tunduk kepada desakan DAP dan PKR dalam beberapa isu yang boleh melemahkan akidah Islam.

DAP dan PKR khuatir isu berkenaan boleh menjejaskan sokongan bukan Islam ke atas pakatan pembangkang. – Kedahnews.com