PAS Tidak Perlu Heret Istana Selangor, Tempelak Mahfuz


ALOR SETAR  - PAS tidak wajar mengheret dan mencari ‘perlindungan’ istana semata-mata untuk  mempertahankan kedudukan tiga anggota Exconya dalam kerajaan negeri Selangor  selepas Majlis Syura Ulama (MSU) membuat keputusan menamatkan tahaluf siyasi antara parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata,  ini kerana mengikut perlembagaan, pelantikan Exco walaupun diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja, ia adalah atas cadangan dan nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar.

Dari segi moral politik, PAS wajib memisahkan diri terlibat atau bersekongkol di dalam apa jua kapasiti dengan PKR dan DAP yang didakwa oleh PAS dua parti itu telah  mengkhiantinya, kata Mahfuz dalam satu kenyataan media, hari ini.

"Dalam hal ini, Exco PAS wajar meletak jawatan dan tak perlu mencari perlindungan politik di Istana Selangor," katanya lagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyebut Exco PAS hanya akan meletak jawatan sekiranya ia mendapat perkenan Tuanku Sultan.

Kata Mahfuz, Tuan Ibrahim perlu memahami bahawa PAS sendiri melalui muktamar dan MSU telah memilih untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR dan DAP atas alasan dua parti itu telah mengkhianati serta menentang agenda PAS. 

Ini bermakna PAS tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan PKR dan DAP yang turut membentuk kerajaan negeri  Selangor selepas PRU13 mahupun dengan mana-mana kerajaan yang dikuasa dua parti berkenaan, kata Mahfuz.

Menurut beliau, keputusan menamatkan kerjasama politik itu tidak diminta atau dipaksa oleh sesiapa dan oleh itu perletakan jawatan Exco adalah bagi membuktikan pendirian PAS Pusat dan PAS Selangor selari dengan keputusan muktamar dan MSU.

Bagaimanapun Mahfuz hairan apabila Timbalan Presiden PAS sendiri masih ‘ragu-ragu’ dalam mendokong keputusan muktamar dan MSU apabila menyandarkan kedudukan Exco PAS di Selangor kepada proses pelantikan yang dibuat oleh Sultan. - Kedahnews.com