PAS, UMNO "Bergabung", Makin Mesra Di Baling

Harun kanan, Amiruddin dua kiri bersama pimpinan Umno lain dalam program sukaneka.
ALOR SETAR – Baru saja Muktamar PAS Kali Ke-63 melabuhkan tirai semalam, PAS dan UMNO sudah mula menunjukkan kemesraan dan hubungan ukhuwah yang tidak mungkin dapat dipisahkan di negeri ini hanya kerana perbezaan fahaman politik.

Menganjurkan program sukaneka bersama di Baling, PAS Cawangan Teluk Sanau Batu 7  bergabung tenaga bersama UMNO Cawangan Kaki Bukit, Batu 7 dan Teluk Sanau untuk menterjemahkan kematangan politik yang berteraskan Islam itu.

Ketua PAS Cawangan Kampung Teluk Sanau Batu 7, Amiruddin Salleh berkata, penganjuran sukaneka tersebut diadakan bagi mengeratkan hubungan antara kedua belah penyokong parti dan tidak akan membiarkan perbezaan politik memecah-belahkan ummah.

"Kerana politik kita abai ukhuwah dan berpecah, jika seseorang itu penyokong kuat UMNO atau kuat PAS, benda betul jadi salah benda salah jadi betul.

"Kita kena perlahan-lahan asuh dan didik masyarakat, lama kelamaan mereka faham, program hari ini pun berjaya diadakan sebab penduduk sudah bijak menilai," katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Di program berkenaan, seramai kira-kira 400 penyokong dari kedua-dua parti memeriahkan sukaneka tersebut disamping turut menerima bantuan  beras dan makanan keperluan daripada Pejabat Parlimen Baling.

Sementara itu,  Adun Kupang, Datuk Harun Abd Aziz  pula menyifatkan acara yang pertama kali diadakan dalam sejarah itu memberi gambaran bahawa pemimpin perlu bertindak sebagai satu simbol kepada penyatuan ummah.

Antara yang turut terlibat dalam program tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Teluk Sanau merangkap Ketua UMNO Cawangan Teluk Sanau Dalam, JKKK Batu 7 merangkap Ketua UMNO Cawangan Batu 7 yang dan Ketua Cawangan PAS Kampung Teluk Sanau Batu 7. - Kedahnews.com