Pasangan Guru Agama Maut, Tiga Kanak-Kanak Cedera Sebelum Berbuka


MARANG - Sepasangan suami isteri  maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 36 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Serating, Marang, petang semalam, iaitu dua jam sebelum berbuka puasa di hari pertama bulan Ramadan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.35 petang itu,  Maimun Mamat, 48, dan suaminya, Daud Setaffa, 55, kedua-duanya guru agama meninggal dunia selepas mengalami luka parah di badan dan kepala.

Maimun, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya yang juga guru agama meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Tiga lagi penumpang kereta termasuk anak kepada pasangan berkenaan iaitu Mohammad Fadhil dan Nor Najihah serta seorang lagi kanak-kanak, Adam Ibrahim yang cedera dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Viva dipandu Daud dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Nissan Latio dipandu lelaki yang datang dari arah bertentangan memasuki laluan mangsa sebelum melanggar bahagian depan Perodua Viva itu.

Mohd Suhaimi berkata, pemandu Nissan Latio hanya cedera ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

(Sumber: Metro )