Pegawai Kanan Polis Dilepas Dengan Jaminan


PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret hari ini melepaskan seorang pegawai kanan polis selepas direman tujuh hari bagi membantu siasatan kegiatan mengutip wang perlindungan daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di Melaka. 

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman, melepaskan suspek lelaki berusia 49 tahun dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000. 

Suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, itu ditahan SPRM di pejabatnya pada 22 Mei lalu. 

Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini jam 9.00 pagi diiringi pegawai SPRM. Setakat ini, 13 individu ditahan SPRM termasuk sembilan pegawai dan anggota polis untuk siasatan kes terbabit. 

Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sumber : BH Online