Pekerja Hotel Mati Lemas Di Pulau Tuba


LANGKAWI - Seorang pekerja sebuah hotel di sini ditemukan mati lemas semasa menyertai aktiviti bina pasukan di Pulau Tuba semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Dr Che Ghazali Che Awang berkata dalam kejadian kira-kira 5.45 petang, Azril Ahmad, 36, bersama-sama 20 pekerja hotel yang lain sedang dalam perjalanan ke Pantai Pasir Panjang di Pulau Tuba dari sini menggunakan sebuah bot.

"Mangsa dikatakan telah terjun seorang diri dari bot dan cuba berenang ke pantai tanpa menggunakan jaket keselamatan namun kelihatan menghadapi masalah sebelum tenggelam," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata peserta lain berjaya menjumpai semula Azril tidak lama kemudian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Langkawi sebelum disahkan meninggal dunia akibat lemas.- Bernama