Pelajar IPTS Di Seri Iskandar Ditangkap Edar Dadah

edar dadah

PARIT - Polis menahan seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Seri Iskandar dan merampas dadah jenis ganja seberat 248.7 gram bernilai RM1,700 kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan petroleum berusia 21 tahun itu ditangkap pada pukul 6.30 petang di kawasan universiti berkenaan.

Katanya, turut ditahan seorang rakan suspek berusia lingkungan 20-an yang merupakan bekas pelajar universiti tersebut di dalam bilik asrama suspek pertama.


“Pemeriksaan terhadap suspek pertama menemukan 26 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis ganja seberat 248.7 gram. Siasatan mendapati suspek aktif melakukan kegiatan tersebut sejak dua tahun lalu.

“Siasatan awal mendapati, dadah yang dirampas itu diedarkan di kawasan universiti berkenaan dan mampu dibekalkan kepada lebih 100 penagih.

“Kedua-dua suspek disahkan positif ganja dan kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Sumber: Utusan Online