Pelajar Malaysia Disoal Polis Manchester Selamat


“Saya sudah pun berkomunikasi secara langsung dengan ketiga-tiga penuntut berkenaan dan dimaklumkan bahawa mereka berada di dalam keadaan yang selamat” kata Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara (BPLN) Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Timbalan Menteri Luar itu berkata, pembebasan tiga penuntut rakyat Malaysia itu dibuat tanpa sebarang syarat dan mereka berada dalam keadaan selamat.

Katanya, BPLN juga merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama penuh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang menuntut di United Kingdom.

"Saya mengenali dan pernah bertemu dengan dua daripada tiga penuntut terbabit ketika program ramah mesra bersama pelajar awal tahun ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketiga-tiga penuntut Malaysia itu disoal siasat Polis Manchester sebagai sebahagian daripada siasatan pihak berkuasa England berhubung serangan bom di bandar raya berkenaan, Isnin lalu.

Sumber : MyMetro