Pelajar Matrikulasi Sempat Jumpa Keluarga Sebelum Meninggal Dunia


KEPALA BATAS – Seorang pelajar perempuan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Pongsu Seribu, di sini meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik di bilik asramanya malam tadi.

Siti Nor Manisya Amer Prem Kumar, 19, ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri oleh seorang rakannya kira-kira jam 8.30 malam.

Rakan mangsa kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada pihak pengurusan kolej dan mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas( HKB) untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia.

Menurut Harian Metro, pelajar jurusan sains itu terkena renjatan di bahagian ibu jari kiri berdasarkan kesan kecederaan.

Apa yang lebih memilukan, mangsa baru sahaja dua jam berjumpa dengan ahli keluarganya yang datang untuk mengambil sebahagian barang-barangnya memandangkan dia akan menamatkan pengajian pada Selasa ini.

Ibu mangsa, Norasiah Shaari, 53, berkata sebelum kejadian dia sempat menikmati makanan di kafeteria pusat matrikulasi bersama anak keduanya itu.

“Kali terakhir dalam jam 6 lebih kami angkat barang dia (mangsa), sekitar 7 malam, dia ajak kami makan dan dia belanja kami makan.

“Dia ceria, saya rasa gembira dia hendak balik dua hari lagi, memang kami waktu makan semua seperti biasa. Dia ceria orangnya, saya terima, redha dengan ujian Allah,” kata Norsiah.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak selepas solat Zohor hari ini. –Kedahnews.com