Pelajar Perempuan Dijumpai Mati Di Asrama


PARIT BUNTAR - Seorang pelajar perempuan tingkatan dua ditemukan mati di dalam bilik asrama puteri di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SBAK) Al Hidayah, Parit Abas, Kuala Kurau dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, Nur Farrahin Rusli Maran, 14, ditemukan tidak sedarkan diri dan mulutnya berbuih di atas katil di dalam bilik asrama ketika rakan-rakannya mahu mengejutkan pelajar berkenaaan untuk bersahur pada jam 5.30 pagi.

Beliau berkata guru sekolah itu pergi ke asrama setelah diberitahu oleh dua pelajar yang mendapati seluruh badan pelajar tersebut sejuk dan keras serta muka telah bengkak.

Katanya guru berkenaan kemudian menghubungi Hospital Parit Buntar dan pegawai perubatan yang datang membuat pemeriksaan mendapati pelajar itu telah meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke hospital itu untuk bedah siasat.

"Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa dan hospital yang menjalankan bedah siasat mengesahkan pelajar itu mati disebabkan saluran pernafasan tersekat akibat pengumpulan cecair berikutan serangan sawan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Omar Bakhtiar berkata keluarga mangsa memberitahu sebelum ini, pelajar itu pernah mendapatkan rawatan akibat penyakit sawan. - Bernama