Pembahagian Kerusi Di Johor Belum Muktamad


JOHOR BAHRU -  Pembahagian kerusi pilihan raya di Johor  bagi  Pilihan  Raya  Umum akan datang dalam kalangan parti yang menganggotai Pakatan Harapan masih belum dimuktamadkan walaupun terdapat perbincangan mengenainya semalam, kata Presiden Persatuan Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita hanya bincang secara prinsip, namun, tiada keputusan dibuat kerana urusan berkenaan sedang dibuat di peringkat pusat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas antara pimpinan PH Johor, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Salahuddin Ayub, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan dan Pengerusi PKR Johor Hassan Abdul Karim.

Muhyiddin berkata, menerusi mesyuarat semalam juga, Pakatan Harapan Johor bersetuju menubuhkan Majlis Pengerusi-Pengerusi Pakatan Harapan Johor yang dianggotai pengerusi keempat-empat parti berkenaan sekali gus berperanan membincangkan strategi dan program yang akan diatur bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Berikutan kecenderungan Pas untuk bergerak secara solo dalam pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata  Pakatan Harapa  perlu mengatur strategi menghadapi kemungkinan pertandingan lebih daripada dua atau tiga penjuru.

Buat masa ini, Pakatan Harapan dianggotai oleh DAP, PKR, Amanah dan PPBM. - Bernama