ALOR SETAR - Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyifatkan kenyataan puak-puak Pakatan Harapan yang menjatuhkan ‘hukuman’ akan disambar api neraka sekiranya pemimpin PAS berada sepentas dengan pemimpin UMNO sebagai sesuatu yang amat melucukan.
Menurut Idris, PAS juga turut dilabelkan sebagai cuba untuk mewujudkan kerajaan perpaduan (UG) dengan Umno sejak 2008, hanya kerana melihat beberapa pemimpin PAS bersama dan hadir dalam program yang dianjurkan UMNO.
"Ertinya semua pemimpin PAS tidak boleh, mereka (Pakatan Harapan) boleh. Kalau mereka buat, ini "engagement". Kalau PAS buat dilabel UG. Yang paling lucu, ada yang mengatakan pemimpin PAS akan disambar oleh api neraka kerana sepentas dengan pemimpin UMNO.
"Mereka membaca ayat al-Quran bermaksud, "Jangan kamu condong kepada kezaliman, maka kamu akan disentuh oleh api neraka"," ujarnya.
Soal Idris, adakah menjadi satu dosa yang sangat besar sekiranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir dalam program kerajaan walaupun bukan anjuran UMNO, hanya kerana mahu menerapkan politik matang dalam parti.
"Salahkah PAS, berdosakah PAS yang hadir dalam program anjuran kerajaan. Salahkah PAS mengambil pendekatan politik matang dan sejahtera untuk bersama agensi kerajaan, bukan program parti," katanya lagi.
Tambahnya, bukan sesuatu yang aneh dan ianya sudah menjadi kebiasaan bagi pemimpin pembangkang untuk hadir ke program yang dianjurkan kerajaan kerana bagi memenuhi undangan dan permintaan.
“Kebiasaannya ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada kerajaan atau pembangkang akan dijemput secara rasmi ke program yang dianjurkan oleh Kementerian atau jabatan kerajaan.
“Kadang-kadang kerajaan negeri juga menjemput MP dan Adun pembangkang untuk hadir terutama di program di dalam parlimen yang diwakili, ia sudah menjadi satu kebiasaaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kehadiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai tetamu kehormat dalam majlis rasmi kerajaan yang diadakan di Marang, Terengganu pada Khamis lalu.
Majlis tersebut turut dimeriahkan oleh pemimpin kanan UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, serta beberapa pegawai kanan Jabatan Perikanan Malaysia serta Petronas. – Kedahnews.com