MUAR - Naib Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mohamed Mustafa Abd. Kadir menerima ugutan selepas membuat pendedahan berkaitan sindiket pelacuran yang didakwa berlaku di Melaka.
Mohamed Mustafa berkata, beliau menerima ugutan daripada beberapa individu dipercayai kumpulan gengster melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar kepadanya selepas berita tersebut disiarkan media.
“Ketika berada di rumah kira-kira pukul 4 pagi ini, saya menerima mesej daripada seseorang dalam bahasa Inggeris dan tidak lama kemudian saya terima satu lagi mesej.
“Mesej kedua itu adalah dalam bentuk klip video yang menunjukkan tiga jari tangan berlumuran darah disusuli mesej teks I lost my 3 fingers,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis (IPD) Muar di sini semalam.
Semalam, Mohamed Mustafa mendakwa, seorang ahli politik dari negeri ini bersama-sama seorang wanita yang dikenalinya secara rapat adalah dalang sindiket pelacuran yang terdapat di Melaka.
Beliau mendakwa, ahli politik berpangkat Datuk Seri itu mempunyai kaitan dengan aktiviti melacur remaja perempuan seawal umur 14 tahun di sekitar Melaka dengan menyasarkan golongan kenamaan sebagai pelanggan.
Lebih mengejutkan, sindiket itu ujar Mohamed Mustafa amat licik memujuk remaja belasan tahun untuk menyertai mereka setelah dijanjikan dengan kemewahan.
“Saya mengesyaki kumpulan yang membuat ugutan itu mungkin terlibat dalam kegiatan terbabit di Melaka Tengah seperti yang saya dedahkan sebelum ini,” jelasnya.
Sumber: Utusan