Pemuda Parah Dipukul Ada Hubungan Dengan Isteri Orang


SUNGAI BULOH - Akibat jalin hubungan dengan isteri orang, seorang pemuda parah dipukul suami wanita itu dan lebih 10 lelaki di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Pelong, dekat sini, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian pada jam 1 pagi itu, mangsa yang berusia 25 tahun dipercayai dipukul 10 hingga 15 orang lelaki termasuk suami kepada wanita berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Somu Subramaniam, berkata berikutan kejadian itu, bapa mangsa membuat laporan selepas dia menerima panggilan dari anaknya. 

"Bapa mangsa pergi ke lokasi dan mendapati anaknya parah akibat dipukul dan disimbah dengan air panas oleh sekumpulan lelaki terbabit. 

"Mangsa yang parah di muka dan badan serta melecet di bahagian belakang, bahu kiri dan kanan serta leher menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. 

"Mangsa turut mengalami cedera lecur kategori tahap kedua iaitu 12 peratus namun keadaannya dilaporkan stabil, " katanya dalam kenyataan semalam. 

Somu berkata hasil siasatan awal dipercayai mangsa menjalinkan hubungan dengan isteri orang iaitu salah seorang daripada suspek yang sedang dalam proses bercerai. 

Katanya, sejurus menerima laporan kejadian itu, pihak polis terus menjalankan usaha untuk mengesan semua suspek. 

"Hasil makluman orang awam pihak polis berjaya menahan tujuh lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan termasuk suami wanita itu. 

"Kami juga percaya mangsa dipukul menggunakan senjata seperti kayu, rotan, air panas dan beberapa objek lain. 

"Pihak kami juga masih mengesan beberapa suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, boleh bekerjasama dengan pihak polis Sungai Buloh dengan menghubungi talian 03-61574745," katanya. 

Semua suspek ditahan dan direman pagi ini di Mahkamah Shah Alam dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sumber : BH Online