Pemuda UMNO Kedah Buka Pintu “Muzakarah” Kepada Pemuda PAS


ALOR SETAR – Pemuda UMNO Kedah membuka pintu “muzakarah” kepada Pemuda PAS untuk berbincang dan mengetengahkan isu-isu berkaitan dengan kepentingan ummah khususnya bagi bangsa Melayu beragama Islam di negeri ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, walaupun PAS dan UMNO masing-masing mempunyai perbezaan dalam prinsip dan pandangan politik, namun beliau percaya bahawa kedua-dua parti tersebut telah matang dalam berpolitik.

“Pemuda UMNO Kedah ingin membuka pintu "muzakarah" bersama Pemuda PAS sekiranya ada perkara dan isu yang memerlukan persetujuan demi kepentingan ummah.

“Kita percaya kedua-dua entiti iaitu PAS dan UMNO sudah boleh melalui suasana kematangan politik yang menyakinkan untuk mengadakan perbincangan dan muzakarah walaupun mempunyai pandangan politik dan prinsip yg berbeza,” katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Tambahnya, tindakan PAS yang memutuskan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengorak langkah tanpa bantuan parti tersebut merupakan satu langkah yang tepat, malah beliau juga percaya bahawa PAS mampu bergerak bersendirian walau tanpa bantuan PKR.

“Pemuda UMNO Kedah menyifatkan PAS mengorak langkah untuk pendekatan yang lebih positif setelah menamatkan tahaluf siyasi bersama PKR.

“Tindakan ini dilihat bertepatan prinsip PAS dan pegangan parti itu selama ini. Pemuda UMNO Kedah memuji langkah berani ketiga-tiga sayap PAS iaitu Ulama, Pemuda dan Muslimat yang berani memberi pandangan kepada pucuk pimpinan untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan segera bersama PKR.

“Pemuda UMNO Kedah percaya PAS masih lagi mempunyai sokongan dan mampu menggerakkan parti dengan lebih baik walaupun tidak mempunyai pertalian ataupun hubungan politik bersama PKR.” tambahnya lagi.

Sementara itu, Shaiful turut menyifatkan bahawa kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam cubaan untuk mendapatkan kerjasama dengan PAS hanya sekadar satu usaha untuk menumpang parti Islam itu selain percaya bahawa PPBM tidak akan bertahan lama.

“Pemuda UMNO percaya PPBM adalah parti yg semata-mata ingin "menumpang" demi melihat kekalutan didalam UMNO dan Barisan Nasional.

“Pemuda UMNO Kedah percaya kegoyahan kemahiran kepimpinan dan prinsip perjuangan yang tidak menentu PPBM akan membawa keruntuhan parti tersebut dimana sudah banyak kawasan sedang dibubarkan akibat ahli yang sudah hilang kepercayaan.” tegasnya lagi. – Kedahnews.com