Pengantin Lelaki Ditahan Menipu Keluarga Pengantin Perempuan


Seorang pengantin perempuan telah menghubungi polis supaya menangkap suaminya selepas mendapat tahu sebahagian besar tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan mereka merupakan orang asing yang diupah oleh suaminya.

Pengantin lelaki itu yang dikenali sebagai Wang telah mengupah 200 tetamu untuk menyamar sebagai saudara mara dan rakan-rakannya memandangkan keluarganya enggan merestui perkahwinan tersebut.

Ia menyebabkan isterinya, Liu yang kecewa dengan keadaan tersebut menghubungi polis bagi menahan suaminya pada majlis perkahwinan mereka yang diadakan di sebuah hotel tiga bintang di Shaanxi, China.

Perkara itu terbongkar apabila Liu gagal mengesan kehadiran keluarga mertuanya dan apabila ditanya kepada suaminya, lelaki itu memaklumkan keluarganya dalam perjalanan ke majlis terbabit.

Kakak Liu kemudiannya bertanya kepada tetamu yang hadir dan mereka yang terdiri daripada pelakon, pelajar universiti dan pemandu teksi mengaku menerima bayaran untuk menyamar sebagai tetamu.

Wang yang ditahan polis mengaku mengupah orang luar disebabkan keluarganya tidak suka Liu kerana wanita itu bukan berasal dari bandar yang sama.

Pasangan berkenaan telah menjalin hubungan selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. –Kedahnews.com