Pengembara Sesat 47 Hari Ditemui, Rakan Mati


KATHMANDU – Seorang lelaki Taiwan yang sesat di sebuah gunung di Nepal selama 47 hari diselamatkan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, teman wanitanya mati tiga hari sebelum mereka ditemui.

Seorang pegawai agensi kembara, Madhav Basnet berkata, Liang Sheng Yueh, 21, ditemui di tebing sebuah air terjun sebelum diterbangkan dengan helikopter ke sebuah hospital di Kathmandu.

Mayat teman wanitanya, Liu Chen Chun, 19, juga diangkut ke ibu negara Nepal itu.

Pasangan berkenaan hilang ketika melakukan pengembaraan di laluan Ganesh Himal yang kurang popular dan terperangkap dalam ribut salji pada Mac lalu sebelum sesat.

Menurut Basnet, Liang dan Liu dipercayai menyusuri sebuah sungai dengan harapan menemui sebuah kampung, tetapi terjatuh di tebing air terjun itu, menyebabkan mereka tidak dapat turun atau naik.

Sepanjang dua minggu pertama, pasangan itu bergantung kepada makanan yang mereka bawa tetapi selepas itu hanya memakan garam dan air.

Pasukan penyelamat menjelajah kawasan itu selama dua minggu tetapi menangguhkan usaha mencari. Mereka menyambungnya semula pada 20 April lalu. Basnet berkata, pasukan yang diketuainya ternampak khemah merah dan berjaya turun.

“Kami menemui lelaki itu. Temannya sudah meninggal dunia,” kata Banet.

Menurut doktor, Liang kehilangan kira-kira 30 kilogram berat badannya sepanjang 47 hari itu. – Reuters