Pengisytiharan Undang-Undang Tentera Di Filipina, PDRM Ambil Langkah Berjaga-Jaga


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara khususnya di sempadan perairan Filipina susulan pengisytiharan undang-undang tentera di Wilayah Mindanao oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata walaupun kawalan dipertingkatkan namun pihaknya tidak bercadang untuk menambah bilangan anggota yang mengawal sempadan negara.

"Kita telah mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka akan apa yang berlaku di negara jiran, Filipina," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Berikutan pengisytiharan itu, tentera Filipina telah mengarahkan lebih 200,000 penduduk bandar Marawi di wilayah itu untuk meninggalkan kediaman mereka sebelum petang semalam.

Arahan itu dikeluarkan sejurus selepas jurucakap Presiden, Ernesto Abella membuat pengumuman mengenai pengisytiharan undang-undang tentera di wilayah itu bagi pihak presiden semalam selepas berlaku pertempuran sengit antara tentera dan militan kumpulan Daesh di wilayah tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang tidak mahu identitinya disiarkan berkata kebanyakan penduduk akur dengan arahan tentera dan memutuskan berpindah ke Zamboanga, Pagadian dan Cotabato yang kira-kira 10 hingga 12 jam perjalanan dari Bandar Marawi.

Katanya sepanjang perjalanan itu menyaksikan pihak tentera memperketatkan kawalan keselamatan dan mengadakan sekatan jalan raya untuk mengesan anggota militan terutamanya Daesh dan Abu Sayyaf," katanya kepada Bernama News Channel ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp.

Presiden Duterte sebelum ini memberi amaran bahawa undang-undang tentera di Mindanao akan dikuatkuasakan selama setahun jika perlu bagi membendung ancaman keganasan.  - BERNAMA