SABAK BERNAM - Seorang Pensyarah Jabatan Matematik dari sebuah politeknik terselamat daripada lemas selepas kereta dipandu terjunam ke dalam parit di Kampung Sungai Apong, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa, Saadah Ishak, 32, yang memandu kereta jenis Proton Persona dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Raya 2, Sabak Bernam menuju ke tempat kerjanya di politeknik berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba mengelak sebuah lori yang membelok ke kanan secara tiba-tiba di satu persimpangan.
"Berikutan itu, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan menyebabkan keretanya terbabas ke bahu kanan jalan lalu terjunam ke dalam parit berdekatan," katanya.
Nor Azmi berkata, kenderaan mangsa tenggelam hingga ke paras tingkap, namun mangsa berjaya diselamatkan penduduk setempat yang tinggal berhampiran tempat kejadian.
"Mangsa mengalami pendarahan di bahagian hidung kemudiannya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar sebelum ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan lanjut.
"Kemalangan ini disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59," katanya.
Sumber : Sinar Online