Perak Kini Bebas Mesin Judi Komputer



IPOH – Polis Perak memberi jaminan tiada lagi aktiviti mesin perjudian berkomputer dikesan beroperasi di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, semua ketua polis di 15 daerah di bawah Kontinjen Perak diarah memantau premis-premis yang berkemungkinan terlibat bagi memastikan aktiviti haram seumpama itu tidak dijalankan.

“Ketua Polis Perak memandang serius perkara ini dan kita mengambil tindakan sewajarnya membanteras secara menyeluruh aktiviti mesin judi ini di seluruh Kontinjen Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berhubung wujudnya aktiviti mesin perjudian haram dalam daerah Taiping.

Tian Kee berkata, siasatan polis mendapati, dua premis yang dikaitkan dengan isu mesin judi berkenaan mempunyai lesen sah perniagaan yang membenarkan permainan komputer dan alatan permainan elektronik.

Katanya, lesen perniagaan kedua-dua premis ini dikeluarkan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) berkuat kuasa Januari lepas.

“Pemeriksaan yang dibuat sebelum ini mendapati tiada kesalahan dan kesemua mesin simulator yang dipamerkan adalah terkandung dalam lesen dikeluarkan,” katanya.

Sumber : Sinar Online