"Periuk Nasi", "Kad Kredit" Paling Popular Ramadan Ini


JAKARTA - Google Indonesia baru-baru ini mendedahkan tabiat rakyat negara itu berbelanja setiap kali tiba bulan Ramadan dan Syawal.

Laporan itu mengikut kata carian yang dibuat sebelum dan selepas kedua-dua bulan suci Islam itu pada 2016 yang jatuh pada 5 Julai.

Satu daripada kesimpulan yang didapati daripada laporan itu adalah peningkatan jumlah permohonan kad kredit iaitu sebanyak 1.15 kali ganda, perjanjian jual beli (1.2 kali ganda) dan pembiayaan ansuran (1.6 kali ganda) sepanjang tempoh tersebut.

'Permohonan kad kredit' merupakan kata carian paling tinggi pada bulan April hingga Mei pada tahun lalu, dan jumlah itu mula berkurangan ketika Ramadan bermula seawal Jun.

Sementara itu, pencarian perjanjian kad kredit pada minggu ketiga Ramadan meningkat mendadak sebanyak 20 peratus manakala pencarian pembiayaan ansuran tanpa faedah pula bertambah 55 peratus pada tempoh yang sama.

Mengulas tentang tabiat rakyat Indonesia ketika tiba bulan Ramadan, Ketua E-Komersial Google Indonesia, Henky Prihatna berkata, peningkatan mendadak melibatkan permohonan kad kredit adalah mengejutkan.

"Jumlah orang yang mencari maklumat tentang bayaran ansuran meningkat sebelum Ramadan memandangkan ramai antara mereka tidak mampu membeli kelengkapan yang diperlukan untuk pulang ke kampung.

"Jadi mereka memilih bayaran ansuran sebagai jalan penyelesaian," katanya.

Secara umumnya, perbelanjaan pengguna meningkat sebanyak 30 peratus sama ada pembelian dalam talian atau luar talian semasa Ramadan.

Google Indonesia mendapati bahawa tabiat berbelanja terus menjadi sebahagian aktiviti penting menjelang sambutan Aidilfitri dengan carian berkenaan telefon pintar, barangan fesyen dan peralatan elektri rumah menunjukkan peningkatan ketara.

"Setiap tahun, jumlah pencarian meningkat, sekali gus menunjukkan bahawa lebih ramai orang berbelanja di dalam talian.

"Dalam banyak-banyak barangan, periuk nasi elektrik merupakan barangan paling popular yang dicari pada minggu pertama Ramadan," katanya.

Sumber: mStar