BUKIT KAYU HITAM - Nasib kira-kira 140 pemandu teksi di Bukit Kayu Hitam - Changlun, Bandar Baru Sintok di sini, bagai sudah jatuh ditimpa tangga apabila ditindas pemandu bas ekspres yang mengambil penumpang berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS), di sini.
Seorang pemandu, Zainudin Zakaria, 42, berkata, sebelum ini, sudah berpuluh tahun pendapatan pemandu teksi terjejas oleh aktiviti van Thailand yang menyalahgunakan permit edaran antarabangsa (ICP) masuk ke negara ini.
“Sekarang pula, kami dihimpit oleh kegiatan segelintir bas ekspres yang mengambil penumpang dari ICQS untuk dihantar ke beberapa lokasi seperti Alor Setar, Sungai Petani dan sebagainya.
“Apatah lagi tibanya musim perayaan nanti, pelancong ramai tetapi kami tidak ada pelanggan kerana mereka diumpan untuk menaiki van atau bas,” katanya.
Seorang lagi pemandu teksi yang enggan dikenali berkata, kegiatan bas ekspres sudah berlarutan sejak tahun lalu dan semakin berleluasa.
“Bas ekspres sepatutnya berhenti dan ambil penumpang di terminal tetapi mengapa ada yang ambil penumpang di sini.
“Pemandu bas tetap menawarkan perkhidmatan kepada pelancong dari negara jiran,” katanya.
Katanya, kegiatan sebegini sekali gus menjejaskan periuk nasi mereka sebagai pemandu teksi.
“Pendapatan kami tidak lumayan, sekitar RM30 hingga RM50, petrol kereta perlu diisi. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sahaja. Kalau tidak kerja, tak ada gaji," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kereta Sewa Teksi Bukit Kayu Hitam, Pekan Changlun, Bandar Baru Sintok, Harun Arrashid Osman berkata, penyalahgunaan tiket bas yang dibayar tunai kepada pemandu bas memang berlaku di lokasi berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini, persatuan pernah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hujung tahun lepas.
“Spad ada datang buat pemantauan namun, selepas itu kegiatan bas ekspres tetap juga beroperasi sehingga kini. Harapan kami, pihak berwajib dapat memantau dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan van Thailand dan bas ekspres.
“Kegiatan mereka ini ibarat membunuh kehidupan pemandu teksi dan juga memusnahkan rezeki kami,” katanya.
Tinjauan di lokasi mendapati beberapa bas ekspres sedang menunggu penumpang berdekatan ICQS.
Malah kelihatan pemandu dan seorang lelaki sedang berurusan untuk membolehkan beberapa pelancong dari Thailand menaiki bas terbabit.
Sementara itu, Ketua Penguat kuasa (SPAD) Wilayah Utara, Mejar B Ahmad Zaidi Shuib ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil berat masalah yang dihadapi pemandu teksi di Bukit Kayu Hitam itu.
“Kami akan membuat pemantauan segera berkaitan bas ekspres berkenaan agar masalah yang dihadapi pemandu dapat diselesaikan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian