Perlis Dijangka Alami Lonjakan Ekonomi Memberangsangkan


ARAU - Perlis dijangka mengalami lonjakan ekonomi yang memberangsangkan dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang diransang oleh petunjuk ekonomi yang positif, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan ekonomi Perlis hasil pelaksanaan projek seperti pembangunan Kawasan Lembah Chuping (CVIA), pembangunan bandar Kangar dan pembangunan bercampur Kuala Perlis dijangka dapat dilihat beberapa tahun lagi.

"Sedikit kelembapan ekonomi yang berlaku pada tahun lepas tidak menjejaskan kemasukan pelaburan swasta. Projek-projek yang dirancang dijangka dilaksanakan mengikut perancangan," katanya.

Azlan berucap menyampaikan ucapan tahniah kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena sambutan keputeraan baginda ke-74 di Balai Rong Seri, Istana Arau di sini, semalam.

Pada istiadat itu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menganugerahkan darjah dan pingat kebesaran negeri kepada 36 penerima.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mendahului senarai penerima. Mereka dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Selain melaksanakan projek-projek yang dirancang, kerajaan negeri juga masih berunding dengan beberapa syarikat besar antaranya membabitkan pembukaan ladang solar dan pemasangan kenderaan (kereta) dalam kawasan CVIA, katanya.

Menurutnya kerajaan negeri komited untuk menjadikan Padang Besar yang bersempadan dengan Thailand  sebagai hab perdagangan yang lengkap dengan disokong oleh penubuhan kampus Universiti Malaysia Kuala Lumpur (UniKL) yang mengkhusus dalam bidang pengangkutan dan logistik.

Azlan berkata, kerajaan sentiasa berwaspada terhadap ancaman berbau hasutan seperti melalui alam maya yang mengancam keharmonian dan keselamatan negara di samping bimbang dengan peningkatan kes-kes kebocoran maklumat atau rahsia rasmi kerajaan.

"Kerajaan juga amat bimbang dengan peningkatan penyalahgunaan daun ketum dalam kalangan penduduk khususnya golongan muda yang perlu ditangani lebih serius oleh pihak berkuasa," tambahnya.

Dalam bidang pertanian, beliau berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) sedang memajukan kawasan seluas 404 hektar dengan tanaman komersial bernilai tinggi. - Bernama