Persatuan Veteran ATM Kedah Dapat Semula Peruntukan Tahunan RM50,000


ALOR SETAR – Kira-kira  22,000 ahli Persatuan Veteran ATM Kedah menerima suntikan semangat yang membara apabila kerajaan negeri bersetuju untuk mengembalikan semula peruntukan tahunan RM50,000 yang dipotong pada masa pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam tempoh Mukhriz menjadi Menteri Besar, difahamkan bahawa peruntukan tahunan itu telah dipotong sebanyak 60 peratus (RM30,000) dan persatuan tersebut hanya menerima RM20,000.

Kedah mempunyai ahli Persatuan Veteran ATM kedua paling ramai selepas negeri Perak.

Pengumuman Menteri Bessar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk mengembalikan semula peruntukan asal RM50,000 itu tahun ini disambut gembira oleh kira-kira 200 para perwakilan yang menghadiri  mesyuarat  agung persatuan tersebut di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar dekat sini semalam.

Ketika merasmikan mesyuarat itu, Ahmad Bashah juga mengumumkan pemberian RM100,000 bantuan daripada Tabung Pahlawan untuk membantu ahli dan balu anggota tentera yang kurang upaya di negeri Kedah.

Ketika  berucap pada majlis itu Ahmad Bashah mahu bekas perajurit terus memberikan sokongan kepada kerajaan kerana melalui kerajaan yang kukuh sahaja segala bantuan boleh dilaksanakan.

Beliau turut menghargai pengorbanan anggota keselamatan dalam menjaga keamanan negara hingga ramai di antara mereka gugur dalam peperangan menentang pengganas komunis.

"Sumbangan yang diberikan oleh kerajaan bukan nilai yang sebenar kepada mereka, sedangkan jasa dan pengorbanan perajurit pula amat besar," kata Ahmad Bashah.

Kata Menteri Besar lagi , bilangan bekas pegawai dan anggota tentera yang menyertai  persatuan di negeri ini, membuktikan  persatuan tersebut  mendapat sokongan.

Kerajaan negeri akan terus memberikan kerjasama dan keperluan bagi membantu bekas anggota terntera, apatalah lagi ramai di antara mereka berkhidmat di perbatasan di negeri ini yang seniasa menjadi ancaman pengganas pada masa lalu, kata Ahmad Bashah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden Persatuan Veteran ATM,  Kapten (B),  Datuk Sharudin Omar, Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Kedah, Kapten (B) Datuk Yusoff Yaacob.

Pada program itu Menteri Besar turut memakaikan Pingat Setia Sentiasa Berjuang kepada 12 orang  bekas perajurit yang berjasa kepada negara. - Kedahnews.com