Persatuan Veteran ATM Tak Wajar Ugut Kerajaan


ALOR SETAR – Ahli Persatuan Veteran ATM diingatkan tidak wajar membuat sebarang ugutan terhadap kerajaan yang dipilih oleh rakyat walaupun ada di kalangan ahlinya berbeza pandangan dan fahaman politik.

“Dalam berpersatuan, kita akan terus mendokong kerajaan dan pemimpin semasa, yang dipilih secara demokratik, “ kata Timbalan Presiden Persatuan Veteran ATM, Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa parti mana sekalipun yang menerajui Kerajaan Pusat akan disokong kerana kerajaan itulah yang bertanggungjawab menjaga kebajikan bekas anggota tentera yang bernaung di bawah persatuan.

Beliau percaya hanya kerajaan yang kukuh dan mendapat sokongan  mampu membantu dan menjaga kebajikan diperjuangkan oleh ahli Veteran ATM.

Sementara itu, katanya satu perhimpunan rasaksa pesara kerajaan termasuk pesara tentera dicadang diadakan pada 19 Julai tahun ini yang dijadual dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada majlis itu, Perdana Menteri dijangka mengumumkan sesuatu untuk faedah bekas anggota tentera, katanya semasa berucap pada majlis perasmian mesyuarat agung Persatuan Veteran ATM peringkat Negeri Kedah di, Dewan Seri Mentaloon, dekat sini semalam.

Mesyuarat itu yang dihadiri 200 perwakilan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. - Kedahnews.com