Pesakit Kurang Tidur Cepat Mati

Image result for pesakit kurang tidur

MIAMI - Masalah kurang tidur bo­leh menggandakan ri­siko kematian akibat penyakit jantung dan strok, terutama bagi mereka yang menghidap penya­kit kencing manis, obesiti, tekanan darah tinggi dan kolesterol, lapor kumpulan penyelidik Amerika Syarikat (AS).

Dapatan yang diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Jantung AS itu merupakan hasil kajian ke atas 1,344 orang dewasa yang dipilih secara rawak di Pennsylvania dengan purata umur 49 tahun, manakala 42 pe­ratus daripada mereka adalah lelaki.

Mereka telah dibawa untuk menjalani satu siri pemeriksaan kesihatan dan diminta mengha­biskan selama satu malam di makmal tidur.


Dalam kajian tersebut, hanya lebih 39 peratus didapati mempunyai sekurang-kurangnya tiga faktor risiko terhadap penyakit jantung, yang turut dikenali sebagai sindrom metabolisme.

Antara faktor tersebut termasuk indeks jisim badan (BMI) lebih tinggi daripada 30, kolesterol tinggi, tekanan darah, paras gula dalam darah ketika berpuasa dan kadar trigliserida.

Tempoh hayat peserta kemudian dikaji berdasarkan tabiat tidur mereka untuk purata sela­ma 16 tahun namun kira-kira 22 peratus didapati meninggal dunia dalam tempoh itu.

Mereka yang mempunyai sindrom metabolisme dengan tidur kurang daripada enam jam di makmal berkenaan didapati 2.1 kali lebih cenderung berdepan risiko kematian kerana penyakit jantung atau strok berbanding mereka yang tidak mempunyai sekurang-kurangnya tiga faktor risiko penyakit berkenaan.

“Pakar menyarankan orang dewasa memerlukan tujuh hingga lapan jam tidur setiap malam.

“Oleh itu jika anda mempunyai beberapa faktor risiko penyakit jantung, menjaga waktu tidur dan berunding dengan doktor jika mempunyai masalah tidur adalah amat penting bagi mengurangkan risiko kematian,” jelas Pensyarah Perubatan Kolej Penn State, Julio Fernandez Mendoza yang mengetuai kajian tersebut.

Menurut Mendoza, kajian tersebut merupakan yang pertama mengukur tempoh tidur dalam suasana makmal, tanpa bergantung kepada laporan pesakit untuk mengkaji risiko kematian dalam kalangan mereka yang mempunyai pelbagai faktor risiko penyakit jantung.

Sumber: Utusan