Pesawah Di Yan Rugi, Tiga Kali Padi Ditenggelami Air


YAN - 10 pesawah dari Kampung Kuala Dulang Besar terpaksa menanggung kerugian apabila padi milik mereka ditenggelami air yang berpunca daripada masalah saliran air sungai.

Pesawah, Ismail Jasi, 58, berkata pada tahun ini sudah tiga kali dia menabur benih padi dan kesemuanya rosak ditenggelami air.

"Pada bulan empat hari tu saya tabur benih padi tapi kesemua padi tersebut rosak ditenggelami air.

"Masuk bulan Mei ini saya sudah dua kali menabur benih padi dan kesemua benih tersebut turut rosak atas sebab yang sama," katanya.

Katanya, masalah ini berlaku disebabkan oleh air sungai berdekatan iaitu Sungai Dulang Besar tidak dilepaskan airnya menyebabkan air sungai tersebut bertakung dan melimpah ke petak sawah miliknya apabila hujan lebat.

"Setiap kali nak tabur benih saya perlu peruntukan sebanyak RM200 hanya untuk benih sahaja," katanya ketika ditemui di sawahnya di Kampung Kuala Dulang Besar.

Ismail yang hanya mempunyai satu hektar tanah sawah tidak mempunyai pendapatan lain dan hanya bergantung harap kepada hasil padi.

Katanya, pada Oktober 2016, dia mendapat pendapatan sebanyak RM500 sahaja sedangkan sebelum ini pendapatannya mencecah RM3,000 satu musim.

"Cuba bayangkan untuk awal tahun ini sahaja saya telah rugi sebanyak RM600 untuk benih padi. Itu tidak termasuk kos baja, ratakan tanah dan sebagainya.

"Saya merayu sangat pada pihak berwajib untuk melepaskan air dalam sungai supaya tidak bertakung dan melimpah ke petak sawah orang kampung," katanya.

Menurutnya, keprihatinan pihak berwajib amat diperlukan ketika ini bagi meringankan beban pesawah yang mengeluarkan modal ribuan ringgit.

“Saya harap pihak berwajib dapat beri perhatian, setidak-tidaknya berilah bantuan benih, racun atau apa-apa sahaja yang boleh ringankan beban pesawah,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Siti Asa Abdullah, 68, berkata padi miliknya turut ditenggelami air sejak sehari lalu.

"Kami baru sahaja tabur benih empat hari lepas, tapi tenggelam dengan air pula. Risau juga takut benih padi rosak. Padi kalau lepas kita tabur tiga hari dia tak nampak perkembangan maknanya padi tersebut telah rosak dan perlu ditanam semula," jelasnya.

Pesawah, Ishak Mahmud, 60, berkata sawahnya turut ditenggelami air dan keadaan ini adalah fenomena biasa buat mereka

"Kami sudah lali dengan keadaan ini kerana ianya kerap terjadi dan kami tidak boleh melakukan sebarang tindakan melainkan berputih mata kalau nak kena bawa keluar modal beli benih semula.

"Kalau benih padi yang ditabur rosak kerana ditenggelami air memang kena tabur semula," katanya.

Menurut Ishak, dia memperuntukkan sebanyak RM300 untuk membeli anak benih sahaja.

Katanya, apabila paras air tinggi, padi memang tak boleh hidup, dan perlu dituai semula dan ini melibatkan kos yang tinggi apabila perlu membeli benih semula.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Jerai, Jamaludin Hussin berkata saliran air sungai di Sungai Dulang Besar terpaksa ditutup salirannya buat sementara ekoran ketika ini waktu air pasang.

"Insya-ALLAH selepas ini kita akan buka semula saliran sungai berkenaan dan masalah air melimpah ke sawah padi tidak akan berlaku lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jamaludin turut meminta para pesawah kawasan berkenaan agar bersabar dengan keadaan ini.

Sumber: Sinar Harian