Piala FA: Lebih 1,000 Penyokong Lang Merah Ke Kuala Terengganu

Gambar Hiasan
ALOR SETAR – Lebih 1,000 penyokong  bolasepak Kedah akan "menyerbu" Stadium  Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Trengganu untuk memberikan sokongan padu kepada skuad Lang Merah pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu ini.

Setakat ini 1,000 keping tiket telah ditempah oleh para penyokong Hijau Kuning menerusi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sementara penyokong lain dijangka membelinya secara persendirian di Stadium Sultan Ismail.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu KFA, Shahrul Niza Omar ketika dihubungi Kedahnews.com memberitahu, KFA diperuntukkan 1,000 tiket sahaja kerana kapasiti stadium tersebut hanya terhad  12,000 penonton.

Bagaimanapun, kata Shahrul, penyokong Kedah yang berada di Pantai Timur dan Kuala Lumpur serta tidak menempah melalui KFA boleh membeli tiket tersebut  di stadium berkenaan.

Penyokong dari Kedah dijangka berlepas ke Kuala Terengganu dengan 25 buah bas malam esok.

Skuad bimbingan pemangku ketua jurulatih, Mohd Nizam Adzha Yusof itu hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke final setelah menang 1-0,  menewaskan skuad Penyu pada separuh akhir pertama di Stadium Darulaman, Alor Setar minggu lalu. 

Pada perlawanan itu, jaringan pemain gantian Mohd Farhan Roslan  pada awal minit separuh masa kedua menjadi bekalan berharga buat Lang Merah ke Kuala Terengganu.

Namun kemenangan tipis itu belum dapat menjamin Kedah ke final kerana skuad bimbingan jurulatih Irfan Bakti itu juga  tidak boleh dipandang ringan kerana kesebelasan pemain Terengganu akan bermatian-matian untuk menyingkirkan Kedah.

Terengganu juga berhasrat ke final Piala FA  musim ini selepas pasukan pilihan, JDT tersingkir peringkat suku akhir dengan skuad Tok Gajah .

Kali terakhir Kedah menjuarai Piala FA ialah pada 2008, iaitu serentak dengan juara liga dan juara Piala Malaysia. - Kedahnews.com