KUALA LUMPUR – Bahang Sukan SEA 2017 semakin dirasakan apabila pingat yang diperbuat dengan gabungan pewter dan kayu kempas diperkenalkan di sini hari ini oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Buat kali pertama dalam sejarah pingat Sukan SEA 2017 (KL2017) ditampilkan dengan corak amat unik yang dihasilkan oleh Royal Selangor untuk menampilkan ciri tempatan.
Pengarah Eksekutif Pemasaran Royal Selangor, Chen Tien Yue berkata, ciptaan tersebut adalah hasil kerja keras pihaknya dalam memastikan rekaan pingat mempunyai unsur-unsur yang menggambarkan Malaysia sekali gus dapat diingati selamanya.
“Pemilihan kayu kempas adalah kerana pokoknya berada dalam hutan hujan tropika yang terdapat di Malaysia dan digabungkan dengan pewter sekali gus menjadikannya amat unik.
“Dalam masa sama ini adalah hasil kerja pasukan kami yang terbaik dalam menghasilkan pingat, baton serta obor bagi KL2017.
“Saya juga berharap atlet negara yang melihat pingat ini dapat memasang cita-cita bagi mendapatkannya dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur nanti,” katanya.
Pingat KL2017 adalah lambang kepada pencapaian atlet dan dihasilkan bahan-bahan sumber asli yang berada di rantau Asia Tenggara.
Reka bentuknya yang kemas menonjolkan gabungan bahan-bahan khusus pewter dan kayu kempas tetapi dalam masa sama masih mengekalkan tumpuan kepada atlet.
Sumber : Utusan Online