PKR Biadap, Rakan Yang Tak Boleh Dipercayai.. - Ulama PAS


ALOR SETAR - Muktamar Tahunan PAS Ke-63 yang berakhir di Kedah Isnin semalam mencatat beberapa peristiwa penting bagi parti yang bertunjangkan Islam tertua di negara ini.

Namun fokus utama oleh lebih 1,000 perwakilan termasuk daripada sayap Ulama, Pemuda dan Muslimat serta ahli PAS di seluruh negara ialah usul untuk memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terjalin sejak 1998.

Dan, seperti yang dijangka, muktamar tersebut mengambil pendekatan untuk menerima usul agar PAS menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR. Usul itu diluluskan tanpa bahas setelah mendapat sokongan padu para perwakilan daripada seluruh negara.

Kini, badan rujukan tertinggi dalam PAS, iaitu Majlis Syura Ulama (MSU) bakal  membuat keputusan muktamad dalam masa terdekat memandangkan gelombang kemarahan penyokong PAS  terhadap PKR sudah sampai pada tahap tertinggi.

Wakil Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Zulkifli Ismail membentangkan usul itu dengan penuh semangat dan lantang, memperjelaskan kepada perwakilan sebab-sebab PKR perlu 'disingkirkan' oleh PAS, berpandukan petikan surah al Quran yang berkaitan dengan perjanjian tahaluf siyasi.

Rumusannya, PAS menyifatkan PKR adalah sebagai sebuah parti yang bukan sahaja mengkhianati perjanjian dengan rakan tahalufnya, tetapi juga 'biadap' dan parti yang tidak lagi boleh dipercayai lagi oleh PAS.

Contoh jelas, PKR bukan sahaja mengkianati PAS malah membantu DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam 'menggagalkan' usaha PAS untuk memperkasakan undang-undang syariah menerusi pembentangan pindaan RUU355 oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen baru-baru ini.

 Kata Zulkifli, semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, PKR dilihat menyokong Parti Amanah Negara (PAN) untuk menentang calon yang dikemukakan oleh PAS.

"Apakah mereka yang menentang usaha PAS untuk memperkasakan undang-undang Islam juga adalah rakan tahaluf PAS?" tanya Zulkifli sambil disambut dengan laungan takbir oleh perwakilan yang memenuhi setiap ruang Dewan Datuk Fahdil Noor di Kompleks PAS  Kedah, Kota Sarang Semut.

Mengikut perjanjian tahaluf siyasi seperti mana yang digariskan dengan jelas dalam al-Quran, dua syaratnya perlu difahami dan dijunjung sebagai mana yang ditunjukkan contohnya oleh Rasullulah SAW dalam memetrai perjanjian dengan kabilah  yang mendiami sekitar kota Mekah. 

Antara syarat itu ialah tidak mengkhianati dan tidak membantu musuh Islam, kata Zulkifli yang turut menyebutkan bahawa PAS kini sedang berdepan dengan rakan tahaluf yang cuba membangkikan gelombang sekular dan sosialis yang amat berbahaya dan boleh merosakkan umat Islam.

"Kita menentang PKR dan rakannya sekutunya kerana yakin hanya Islam yang boleh menyelesai masalah manusia. Kita tidak mempunyai pilihan lain kecuali memutuskan hubungan kerjasama dengan mereka yang menentangnya.." kata Zulkifli. - Kedahnews.com