Polis Buru 2 Lagi "Geng Teloi" Pencuri Kabel

Md Zukir (tiga dari kiri) menunjukkan barang kes membabitkan kecurian kabel yang dilaporkan di Taman Berlian Indah, Sungai Petani.
SUNGAI PETANI - Polis masih memburu dua suspek "Geng Teloi" kes curi kabel membabitkan kejadian di Taman Berlian Indah, Sungai Petani, 6 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, dua suspek terbabit ialah Muhammad Nur Mustaqim Abdul Hadi, 26, dari Kampung Kuala Darak Mukim Teroi dan Mohd Shahrin Abd Rani, 33, dari Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil.

Menurutnya, salah seorang suspek berjaya ditahan selepas kegiatan mereka disedari dan diekori anggota MPV selepas mendapat aduan.

"Dalam kejadian pukul 5.30 pagi semalam (kelmarin), suspek yang berusia 29 tahun bertindak agresif dengan menerpa ke arah polis menggunakan sebilah kapak selepas kereta yang dinaiki bersama dua lagi rakannya terbabas dan melanggar tangga hadapan surau Kampung Tengkorak Batu, Bukit Selambau ketika diekori kereta peronda polis,"katanya kepada media.

Bagaimanapun, katanya, dua daripada tiga suspek tersebut melarikan diri ketika dihampiri.

"Dalam usaha mempertahankan diri, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek yang memegang kapak dan mengenai pada bahagian paha kanan suspek menyebabkannya berjaya diberkas," katanya.

Beliau berkata, lelaki tersebut yang mempunyai rekod lampau berkaitan dengan dadah cedera di kaki dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Pemeriksaan lanjut dalam kereta suspek menemui  dua pemotong kabel, satu unit tukul tajam, satu unit penukul, tiga batang besi berukuran satu meter, satu gulung wayar Telekom Malaysia Bhd (TM) dan 30 batang kabel TM yang telah dipotong dengan anggaran kerugian kira-kira RM2,000.

"Polis meminta dua lagi suspek iaitu Muhamad Nur Mustaqim Abdul Hadi, 26, dari Mukim Teloi, Kuala Ketil dan Mohd. Shahril Abd. Rani, 33, dari daerah yang sama supaya menyerah diri dengan segera kerana sehingga kini polis masih giat memburu keduanya,"katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian