Polis Rampas Mercun RM10,000


WANITA disyaki memiliki dan menjual pelbagai jenis mercun ditahan di rumahnya di Kampung Muhibbah, Sungai Siput, malam tadi.

Suspek, 54, dikatakan memiliki pelbagai jenis mercun bernilai RM10,000 dan ditahan dalam serbuan pada 10.33 malam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Abdul Fatah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kegiatan suspek dan kemudiannya menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, lebih 10 jenis mercun ditemui dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput di rumah suspek.

"Suspek didapati menjual mercun berkenaan bagi pasar Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba.

"Sehingga ini, kita masih menjalankan siasatan dari mana suspek mendapatkan bekalan mercun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, antara jenis-jenis mercun yang dirampas adalah 50 mercun jenis Fire Works, Assorted Cakes (42), Whistling Moon Traveller (32) dan Happy Boom (43).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sumber : MyMetro