KUALA LUMPUR - Polis buka dua kertas siasatan mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan terhadap akhbar The Star berhubung penyiaran berita muka depan pada Sabtu lalu yang menyinggung perasaan umat Islam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kertas siasatan itu dibuka berikutan polis menerima banyak laporan berhubung laporan muka depan akhbar berkenaan.
Katanya, siasatan akan berjalan seperti biasa dan mereka yang bertanggungjawab akan dipanggil untuk membantu siasatan.
"Kita akan memanggil mereka yang bertanggungjawab dan keterangan akan diambil untuk mengetahui siapa yang mengeluarkan gambar dan tajuk di halaman pertama akhbar itu Sabtu lalu," katanya selepas penyampaian sumbangan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) kepada anggota keselamatan di sini, hari ini.
Khalid berkata, polis juga masih belum mendapat pengesahan mengenai dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam pertempuran dengan tentera Filipina di Marawi minggu lalu.
"Kita masih menunggu pengesahan pihak berkuasa Filipina berhubung dua rakyat Malaysia yang terkorban itu.
"Hasil siasatan polis mendapati ada lima rakyat Malaysia yang terbabit dengan militan itu," katanya.
Sementara itu, laporan AFP yang memetik panglima tentera Filipina hari ini menyebut tiga warga Malaysia dan masing-masing satu dari Indonesia dan Arab Saudi terbunuh dalam pertempuran dengan tentera di Marawi.
Sumber: Berita Harian