Polis Tembak Mati Ketua Geng Pam Di Tapah


TAPAH - Ketua kumpulan 'Geng Pam' Perak paling dikehendaki maut selepas ditembak mati polis di Jalan Air Kuning-Teluk Intan di sini, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang melakukan rondaan di Air Kuning mahu menahan kenderaan suspek kerana menggunakan nombor plat palsu.

"Pihak polis meminta lelaki itu memberhentikan keretanya, namun suspek terus memecut laju dan tiba di tempat kejadian kenderaan polis memotong kereta suspek sebelum kereta suspek terbabas di tepi jalan.

Suspek keluar dari kenderaan dan melepaskan tiga das tembakan ke arah polis manakala pihak polis membalas dua das tembakan yang mengenai dada suspek dan suspek mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, semalam.

Menurut Hasnan, polis menjumpai sepucuk pistol dan di dalamnya terdapat sebutir peluru, tiga kelongsong di tempat kejadian manakala tiga parang di dalam kereta suspek.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati suspek berumur 40 tahun itu juga anggota kumpulan 'Geng 04' yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dari 2006 hingga 2013 membabitkan samun, bunuh dan curi kenderan.

"Dengan terbunuhnya suspek ini kita telah mengenal pasti lima atau enam anggota kumpulan itu dan akan mengesan mereka," katanya. - BERNAMA