Pos Malaysia Perkenal Servis Baru, Jimat kos Dengan ‘My Distribution’


SHAH ALAM - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengunjurkan pendapatan RM50 juta setahun melalui servis terbarunya, My Distribution yang dilancarkan secara rasminya, semalam. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, My Distribution adalah khidmat penghantaran barangan bagi bantu komuniti perniagaan hantar barang ke seluruh Malaysia. 

Menurutnya, perkhidmatan terbaru itu menawarkan penghantaran barangan dengan berat minimum 30 kilogram ke pelbagai destinasi domestik dengan harga serendah 50 sen sekilogram. 

“Melalui My Distribution, pelanggan nikmati perkhidmatan harga berpatutan, berbanding penghantaran premium. 

“Perkhidmatan ini juga bantu pelanggan yang mahukan khidmat penghantaran yang boleh dipercayai dengan kadar kos efektif,” katanya sempena pelancaran di Pusat Mel Nasional, semalam. 

Pengenalan khidmat My Distribution asalah satu inisiatif Pos Malaysia dalam mempelbagaikan dan mengukuhkan produk serta perkhidmatan.

Mohd Shukrie berkata, platform yang ditawarkan Pos Malaysia memberi manfaat kepada komuniti perniagaan seperti industri kecil dan sederhana (IKS), syarikat perdagangan, pemborong, pengeluar dan syarikat logistik. 

“Khidmat terbaru ini juga sediakan perkhidmatan pungutan percuma. Selain itu, pelanggan boleh akses 24 jam status terkini barangan, bukti penghantaran untuk rujukan dan perlindungan insurans sehingga RM100,000 (berdasarkan kes tertentu),” katanya. 

Menurutnya, tempoh standard masa penghantaran empat sehingga tujuh hari bekerja bergantung lokasi penghantaran.

“Buat permulaan, kita sasar domestik. Di Semenanjung Malaysia, tempoh antara empat hari, manakala Sabah dan Sarawak tujuh hari,” katanya.

Sumber : Sinar Online