PPBM Diminta 'Ukur Baju' Sebelum Pimpin Pakatan di Kedah


ALOR  SETAR – Parti Pribumi  Bersatu Malaysia (PPBM) diminta ‘mengukur baju di badan sendiri’ sebelum menyatakan hasrat untuk menjadi tonggak Pakatan Harapan (PH) di negeri Kedah dalam Pililhan Raya Umum Ke-14 .
“Jangan malukan parti dengan memberi  gambaran untuk menawan Kedah sedangkan ahli PPBM sendiri hilang kepercayaan kepada parti dan pucuk kepimpinannya,“ kata Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Katanya, umum sedia maklum bahawa PPBM di negeri ini semakin goyah berikutan ramai pemimpin dan ahlinya keluar parti walaupun belum sampai setahun parti itu ditubuhkan.
Pemuda ingin mempersoalkan, apakah dengan kehadiran ramai semasa ceramah PPBM sudah menjadikan ukuran utama kepada parti itu mempunyai sokongan di negeri ini, kata Shaful Hazizy dalam kenyataan akhbar hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menyatakan parti itu mampu mengetuai PH untuk menerajui kerajaan negeri Kedah pada pilihan raya umum akan datang.
Pemuda Kedah bagaimanapun menganggap kenyataan Muhyiddin itu hanya sekadar perang psikologi semata-mata selain untuk meraih sokongan rakyat negeri ini  ketika PPBM semakin goyah dan perlu bergantung kepada parti lain dalam PH untuk menghadapi PRU-14.
“Apa sumbangan PPBM kepada Pakatan Harapan dan siapa yang menumpang siapa? tanya Shaiful Hazizy.
Pada April lepas lebih 800 anggota PPBM di seluruh negara termasuk di Baling Kedah mengumumkan keluar parti kerana melihat parti pimpinan Tun  Dr.Mahathir Mohamad itu tiada hala tuju yang jelas dalam membela rakyat.

Sebaliknya PPBM dikatakan hanya berminat untuk menyerang dan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengambil alih kerajaan yang diterajui UMNO.